Friday, December 24, 2010


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melunaskan tunggakan bayaran perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSP&PA) kepada syarikat konsesi berkaitan yang dianggar berjumlah RM348.6 juta sejak 13 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua tunggakan hutang itu perlu dilunaskan sebelum Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dikuatkuasakan tahun depan.

“PBT yang masih menanggung hutang atau bayaran perkhidmatan tertunggak kepada syarikat konsesi ini kita minta mereka menjelaskannya sebelum ia diambil alih oleh kementerian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal (Akta 672) di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan yang bertujuan membincangkan hala tuju pelaksanaan sektor pengurusan sisa pepejal kebangsaan.

"Aspek pengurusan sisa pepejal ini amat penting dan sekian lama tertangguh. Secara keseluruhannya semua setuju cuma ada beberapa negeri minta untuk mengadakan rundingan secara terperinci sebelum mereka menyertai program pengambilalihan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat semalam turut bersetuju kerajaan negeri dan PBT terus membuat bayaran perkhidmatan PSP&PA atas kadar sedia ada kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sebarang kenaikan kadar apabila penswastaan penuh dilaksanakan akan ditampung oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata, mesyuarat, juga bersetuju supaya kerajaan negeri, PBT dan Kerajaan Persekutuan menandatangani perjanjian bersama berhubung bayaran perkhidmatan PSP&PA itu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat juga bersetuju supa-ya semua kontraktor perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sedia ada di PBT dijadikan syarikat konsesi sebelum akta berkenaan dikuatkuasakan.

“Mereka juga bersetuju semua tapak pelupusan milik PBT ada digunakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam siaran medianya berkata, semua keputusan mesyuarat itu dipersetujui semua kerajaan negeri kecuali Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang memohon ditangguhkan keputusan bagi membolehkannya memperhalusi perkara yang disyorkan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment