Thursday, December 23, 2010

JURUTEKNIK GRED J17/22/26 HANTAR PETISYEN

SEBAGAIMANA semua pihak telah sedia maklum, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2009 yang diedarkan baru-baru ini mengenai penambahbaikan skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah daripada gred NT17, NT22, NT31/32, NT36 kepada NT27, NT32, dan NT36 terlebih dahulu tentulah disambut dengan begitu gembira oleh mereka yang terlibat.
Meneliti semula syarat-syarat yang ditetapkan untuk pelantikan ke NT27, didapati terdapat ketidakselarasan di antara pemegang sijil/diploma di dalam jurusan berkaitan.
Adalah menjadi satu kemusykilan mengapa JPA harus membeza-bezakan kelayakan pemegang sijil daripada politeknik, apa istimewa dan apa kurangnya kelulusan untuk sesetengah jawatan.
Sehubungan itu, kami yang menjawat jawatan sebagai juruteknik yang memiliki sijil serta diploma dalam bidang berkaitan memohon dan merayu supaya JPA, CUEPACS, atau badan berkaitan meneliti semula skim perkhidmatan kami atas sebab-sebab berikut:
Syarat lantikan untuk menjawat jawatan juruteknik gred J17, memerlukan kelayakan sijil daripada politeknik, sedangkan untuk NT17 hanya memerlukan kelulusan SPM dengan kredit dalam subjek Matematik sahaja.
Mengikut pekeliling terbaru yang diedarkan oleh JPA, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah gred NT27 adalah memiliki sijil dalam bidang kejuruteraan berkaitan (sila rujuk pekeliling perkhidmatan bil 16 tahun 2009, syarat lantikan - di para 4) yang mana, ini adalah sama dengan kelayakan untuk lantikan bagi skim juruteknik gred J17.
Kebanyakan juruteknik gred J17, walaupun telah bekerja selama lebih daripada 10 tahun, malahan ada yang telah berkhidmat hampir 29 tahun, masih lagi di gred yang sama, dengan gaji akhir bertahun-tahun di P1 dan kalau bernasib baik mendapat anjakan di P3, sedangkan NT17 dengan kelulusan lantikan SPM diberi kelonggaran kenaikan pangkat ke NT27 dengan pengalaman kerja hanya selama 6 tahun sahaja.
Dengan penambahbaikan dan perubahan skim tersebut sudah tentulah gred NT27 berpeluang mendapat gaji/pangkat yang lebih tinggi. Adakah JPA yang membuat dasar terlepas pandang atau sengaja tidak ambil peduli, sehingga menyebabkan mereka berada di skim perkhidmatan yang berlainan kerugian?
Bukankah syarat-syarat kelulusan bagi menjawat jawatan berkenaan adalah sama. Kenapa dasar penambahbaikan yang diguna pakai untuk skim perkhidmatan NT17 tidak boleh digunakan untuk skim-skim perkhidmatan yang lainnya.
Mengapa berlakunya ketidakadilan di dalam dasar pelantikan kakitangan awam.
Persoalannya mengapa tidak diberi kelonggaran dengan dinaikkan pangkat secara lantikan atau diberi opsyen secara tukar lantik sebagaimana diberikan kepada kakitangan gred NT17 (seperti yang dinyatakan dalam pekeliling perkhidmatan bil. 16 2009, sila rujuk di para 6 - pelaksanaan).
Berkali-kali mengisi borang SPA 8, ada yang tidak pernah sekalipun dipanggil temuduga, dan kalau sekalipun dipanggil, boleh pula dibilang dengan jari berapa ramai yang mendapat peluang kenaikan pangkat.
Hampir keseluruhan juruteknik gred J17 telah pun memiliki diploma atau sedang menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan masing-masing dan mempunyai pengalaman kerja lebih daripada 15 tahun, tapi sayangnya kebanyakannya masih bertugas sebagai juruteknik gred J17, sedangkan mereka yang di skim berlainan yang tidak mempunyai kelulusan atau pengalaman setara telah pun dianugerahkan “durian runtuh”.
Sekiranya JPA tidak perasan atau terlepas pandang, andai diteliti mereka di skim lain menikmati kenaikan gred di bawah SSB dan SSM dengan diberi penambahbaikan, tetapi skim perkhidmatan juruteknik diberi “penambahburukkan” pula dengan diturunkan gred.
Setelah menilai, menghitung dan mengkaji sebab-sebab tersebut di atas, kami yang berada di skim perkhidmatan juruteknik merasa amat-amat dipinggirkan dan telah menjadi mangsa keadaan seolah-olah tidak diambil peduli oleh pihak JPA dalam membuat dasar lantikan/ kenaikan pangkat. Adakah perkhidmatan kami tidak penting di dalam sektor perkhidmatan awam?
Lanjutan daripada itu juga, kami yang berada di skim perkhidmatan juruteknik gred J17/22/26, ingin menuntut dan merayu supaya JPA membuat semakan semula penggredan dan penjadualan semula tangga gaji agar ia lebih relevan dengan kelulusan, pengalaman serta keadaan ekonomi semasa seperti mana yang telah diberikan kepada skim perkhidmatan yang lain khususnya yang terbaru bagi skim perkhidmatan penolong pegawai tanah gred NT17/22/31/32/36 yang telah pun ditambahbaikan.

No comments:

Post a Comment