Wednesday, December 29, 2010

29 Disember 2010
AHLI GABUNGAN CUEPACS KEMUKA BANTAH DAKWA KONVENSYEN LANGGAR PERATURAN
Bernama
29/12/2010






PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) -- Beberapa kesatuan ahli gabungan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Rabu mengemukakan bantahan mendakwa berlaku perlanggaran perlembagaan dan peraturan pada Konvensyen Cuepacs ke-25 yang berlangsung pada 21 hingga 23 Dis lalu.

Surat bantahan itu disampaikan oleh bekas Timbalan Presiden Cuepacs Husain Mohd Yasin kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Omana P.V.C Pillai di lobi Kementerian Sumber Manusia, petang ini.

Husain, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya, berkata bantahan dibuat berikutan berlakunya insiden dan pelaksanaan konvensyen, yang turut mengadakan pemilihan pegawai tertinggi dan majlis tertinggi, tidak mematuhi perlembagaan dan peraturan Cuepacs serta Akta Kesatuan Sekerja 1959.

"Misalnya notis konvensyen yang diberikan kepada ahli gabungan tidak mengikut perlembagaan iaitu tidak mencukupi tempoh, dan wujud kepincangan tatacara ketika pelaksanaan proses pengundian.

"Ia seperti calon memancing undi semasa perwakilan sedang beratur menunggu giliran untuk mendapatkan kertas undi dan keputusan pengundian tidak diumumkan setelah proses pengiraan undi selesai tetapi ditangguhkan hingga keesokan pagi," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Husain, yang kesal dengan insiden berkenaan, menyifatkan kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang pemilihan diadakan sebelum ini.

Antara kesatuan lain yang membantah adalah kesatuan kakitangan awam Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Universiti Utara Malaysia (UUM), katanya.

Husain berharap Jabatan Hal Ehwal Kesatuan akan melakukan siasatan dengan segera untuk menentukan kedudukan Konvensyen Cuepacs kedua itu.

Omana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan melakukan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment